Latar tempat Kapten Hassan Wira Bangsa

Terdapat banyak tempat yang penting dan kurang penting yang menjadi latar tempat dalam novel ini. Antara latar tempat yang penting dalam novel ini termasuklah seperti berikut:

  • Mukim Pantai. Di sinilah Hassan dibesarkan oleh datuknya, Penghulu Ismail dan dikahwinkan dengan isteri pertamanya. Di sinilah peristiwa kejam yang menyayat hati, yakni pembunuhan isteri Hassan, ibu mertuanya, nenek mertuanya, dan anak buah isterinya berlaku. Di sinilah juga, datuk Hassan ditangkap dan ditahan oleh anggota Bintang Tiga. Kesan daripada peristiwa yang berlaku itu, semangat juang Hassan untuk menuntut keadilan dan menentang komunis membenih dan membara.
  • Kem Tapah. Di sinilah Hassan cuba digoda oleh Ah Moi, pengganas komunis wanita yang berpura-pura menyerah diri. Sebaliknya, Ah Moi pula tewas oleh pujukan Hassan sehingga 27 rakan seperjuangan Ah Moi yang bergerak di dalam hutan di negeri Perak turut menyerah diri kepada pasukan keselamatan.
  • Ladang Getah Waterfall. Di sinilah Hassan mengetuai pasukannya yang menyiasat dan mengagalkan percubaan komunis untuk menghalang sambutan kemerdekaan Tanah Melayu.
  • Kem Batalion Kelima, Askar Melayu Diraja di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Di sinilah berlakunya pergeseran peribadi antara Leftenan Hassan dengan ketua kompeninya yang berpangkat mejar. Di sinilah perkhidmatan Hassan dalam angkatan tentera ditamatkan setelah dia gagal dalam ujian kenaikan pangkat. Rayuan Hassan supaya perkhidmatannya disambung semula ditolak oleh mejar berkenaan tanpa mengambil kira perkhidmatan cemerlang Hassan sepanjang kerjayanya.
  • Hospital Besar Seremban. Di sinilah tempat Hassan dimasukkan ke unit rawatan rapi kerana serangan sakit jantung dan kemudian menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika berusia 64 tahun.